Oleh: Shafira Aziz
TEHRAN: Naib Presiden Iran, Mohammad Javad Zarif meletak jawatan, selepas hanya 11 hari pelantikannya.
Beliau turut memberi bayangan ia berpunca daripada pemilihan anggota Jemaah Menteri Pezeshkian.
“Saya tidak berpuas hati dengan kerja saya dan kesal kerana saya tidak dapat memenuhi jangkaan,” katanya menerusi platform X, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Beliau turut memaklumkan sekurang-kurangnya tujuh daripada 19 menteri yang dicalonkan bukanlah pilihan utamanya.
Javad merupakan orang kanan Pezeshkian semasa kempen pilihan raya presiden dan kerana popularitinya turut memainkan peranan penting dalam kemenangan Pezeshkian.
Selepas pilihan raya, Javad dan sekumpulan pakar dijangka menyenaraikan calon untuk jawatan kerajaan yang akan melaksanakan pembaharuan yang dijanjikan, menurut laporan itu.
Pezeshkian membentangkan senarai pada Ahad, dipercayai pemerhati tidak sepadan dengan rancangan dan janji reformasi.
Javad adalah ketua diplomat negara itu antara 2013 dan 2021 dan berjaya merundingkan perjanjian nuklear antarabangsa dengan enam kuasa dunia pada 2015 sebagai ketua pasukan perunding Iran.