GUA MUSANG: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menafikan dakwaan Tan Sri Annuar Musa bahawa isu air di Gua Musang melibatkan perkampungan Orang Asli berpunca daripada kegagalan jabatan itu menyelenggara sistem rawatan air yang disediakan.
Ketua Pengarah JAKOA, Datuk Sapiah Mohd Nor menegaskan, dakwaan Pengarah Operasi Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri itu adalah tidak tepat.
Katanya, sebanyak 109 kampung Orang Asli di Gua Musang mempunyai sistem bekalan air iaitu menggunakan sistem air paip (tiga kampung), 16 kampung guna telaga tiub atau boring dan 90 kampung guna graviti (sungai).
“Sejumlah RM25 juta diperuntukkan bagi kerja bina baru dan pembaikan Sistem Rawatan Air, manakala RM5 juta pula dibelanjakan untuk kontrak penyelenggaraan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Isu pembekalan air ke perkampungan Orang Asli adalah berpunca dari sumber air yang terhad selain sumber air yang tercemar.
“Masalah ini berlaku bukan di perkampungan Orang Asli malah di seluruh Kelantan,” tegasnya.
Sapiah sementara itu menjelaskan, sumber air menjadi terhad dan tercemar susulan kurangnya kawasan tadahan hujan yang dapat menyalurkan air ke kawasan sekitar akibat dari aktiviti pembalakan dan pembukaan ladang secara tidak terkawal serta kurangnya kawalan terhadap pencemaran air di sungai Kelantan.
Terdahulu, Annuar menerusi ceramahnya menepis dakwaan kononnya isu masalah air yang membelenggu penduduk Orang Asli disebabkan kegagalan kerajaan negeri menyelesaikannya.
Peruntukan untuk penyediaan bekalan air bersih di penempatan pedalaman Orang Asli disalurkan JAKOA.
Sementara itu Sapiah menegaskan, dengan sumber air bersih yang terhad, pihaknya tetap berusaha menyediakan alternatif lain untuk mendapatkan sumber bekalan air buat masyarakat Orang Asli.
Ia antaranya dengan membangunkan telaga tiub (sumber air bawah tanah) melalui kerjasama strategik bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Mineral dan Galian (JMG) serta universiti tempatan.