Awie menang di DUN Nenggiri

Oleh: Shafira Aziz

GUA MUSANG: Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Sabtu dengan majoriti 3,352 undi.

Beliau memperoleh 9,091 undi, menewaskan Mohd Rizwadi Ismail daripada PN yang memperoleh 5,739 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Nenggiri pada pukul 9.32 malam di Dewan Perdana, Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang.

Menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PRK Nenggiri melibatkan seramai 20,216 pengundi secara keseluruhannya.

Seramai 73 peratus pengundi telah turun untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi, berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperoleh 5,707 undi.

Namun, PRK Nenggiri diadakan sekali lagi berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.