Nasional

Habitat mengecil punca ‘Pak Belang’ mengganas

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Mohamad Hafid Rohani, berkata, susulan kejadian berkenaan pihaknya sudah memasang kamera dan perangkap bagi mengesan binatang berkenaan.

Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan harimau sama yang menyerang kedua-dua mangsa dalam kejadian baru-baru ini iaitu masing-masing seorang lelaki warga Indonesia dan Myanmar.

“Semua orang tahu punca yang menyebabkan harimau mengganas adalah disebabkan habitat yang semakin mengecil.

“Harimau di dalam hutan ada banyak namun kemungkinan harimau sama yang menyerang lelaki Indonesia dan Myanmar kerana lokasi kedua-dua mangsa adalah berdekatan iaitu jarak 10 kilometer (km).

“Susulan kejadian yang berlaku, PERHILITAN sudah memasang kamera dan perangkap untuk mengesan haiwan berkenaan di ladang terbabit,” katanya.

Beliau juga memohon kepada pekerja ladang dan persendirian supaya tidak bekerja keseorangan dan bekerja secara berkumpulan selain tidak membuat sebarang provokasi kepada hidupan liar.

“Orang ramai adalah dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak melakukan provokasi,” katanya.

Terdahulu, dua lelaki maut dibaham harimau dalam tempoh dua hari membabitkan seorang lelaki warga Indonesia dan lelaki Myanmar.

Mangsa lelaki warga Indonesia, Lalu Sukarya Yahya, 42, ditemui maut jam 10 pagi kelmarin di Kampung Meranto manakala lelaki warga Myanmar, Ahka Soe Ya, 22, maut diserang harimau jam 10 pagi ketika menoreh getah di kampung yang sama.

Kematian kedua-dua lelaki berkenaan menjadikan keseluruhan empat individu maut akibat serangan harimau sepanjang tahun ini termasuk dua penduduk Orang Asli iaitu Pisie Amud, 25, dari Pos Pasik maut pada 4 Oktober lalu dan Halim Asin, 27, pada Mei lalu. – Berita Harian.

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close