SUKMA Sarawak 2024: Tuan rumah raih emas taekwondo lelaki dan perempuan

Oleh: Syafira Aziz

LATIHAN intensif selama enam bulan di Vietnam membuahkan hasil buat skuad taekwondo Sarawak selepas pasukan lelaki dan wanita berjaya merangkul pingat emas dalam acara poomsae berpasukan pada Jumaat.

Pingat emas pertama dimenangi oleh trio wanita yang terdiri daripada Farah Nabilla, Siti Yusriyyah dan Willemien Lai Lini yang memperoleh jumlah mata keseluruhan sebanyak 7.70.

Mereka mengalahkan kontinjen Johor yang diwakili oleh Lau You Ling, Lim Xin Zi dan Yong Si Ting yang terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua dengan 7.54 mata, diikuti oleh Pulau Pinang di tempat ketiga dengan 7.29 mata.

Trio lelaki Sarawak yang terdiri daripada Fedealis Kom, Mohd Issharil dan Randy Owen Augustine Linggi, memperoleh jumlah mata keseluruhan sebanyak 8.02, sekali gus menghadiahkan pingat emas kedua kepada Sarawak dalam sukan taekwondo.

Farah berkata, latihan yang dijalani pasukan di Vietnam telah menyumbang kepada kejayaan mereka dalam kejohanan tersebut.

“Rutin di sana (Vietnam) sangat padat di mana kami berlatih sepanjang hari. Ia sangat mencabar dan kami terpaksa mengatasi cabaran dari segi mental dan fizikal. Kini semua usaha itu berbaloi,” katanya, lapor New Sarawak Tribune.

Dia turut menambah bahawa pengalaman berlatih dengan atlet yang lebih berpengalaman di Vietnam telah membantu meningkatkan keyakinan mereka semasa membuat persembahan di pentas pertandingan.

Bagi Siti pula, memenangi emas adalah cara untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh pasukan kejurulatihan, serta sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa dan penyokongnya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Persatuan Taekwondo Sarawak, Azizul Annuar Adenan, para jurulatih, serta ibu bapa dan penyokong saya. Ini adalah ganjaran untuk semua pengorbanan kami. Saya gembira usaha keras kami membuahkan hasil dengan pingat emas,” katanya.

Sementara itu, Willemien berasa gembira kerana taekwondo kembali ke pentas SUKMA selepas hiatus selama dua tahun.

“SUKMA kali ini adalah pentas pertama kami, dan diharapkan kami dapat bersaing di peringkat yang lebih tinggi, seperti di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat