Oleh: Shafira Aziz
MARANG: Akibat terpengaruh dengan iklan pelaburan ‘Islamik’ di media sosial Facebook (FB), seorang pesara wanita mengalami kerugian sebanyak RM72,720 selepas menjadi mangsa pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Razman Setapa berkata, mangsa yang berusia 56 tahun itu telah melayari aplikasi FB menggunakan akaun anaknya sebelum menjumpai iklan pelaburan tersebut pada 2 Ogos lalu.
“Mangsa memilih untuk berurusan dengan nombor yang tertera pada iklan tersebut yang memperkenalkan diri mereka sebagai Afifah dan Norlizah.
“Mangsa turut dimasukkan kedalam dua buah grup aplikasi WhatsApp di mana dia telah diterangkan tentang pakej pelaburan yang ditawarkan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Razman turut memaklumkan mangsa mulai membuat bayaran modal sebanyak RM300 dan pembayaran seterusnya dilakukan sebanyak 15 transaksi ke enam akaun yang berbeza.
Kemudian, mangsa mulai menyedari dirinya ditipu selepas diminta untuk membayar wang tunggakan sebanyak RM3,500 di mana dia tidak menerima sebarang keuntungan sepanjang pelaburan dilakukan.
Dalam pada itu, polis turut menyeru orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan membuat semakan lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan.
Semakan boleh dilakukan menerusi sumber-sumber rasmi seperti portal Semakmule, Alert List Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).