Hangus RM1.4 juta, terpedaya sindiket pelaburan saham luar negara

Oleh: Farah Faizal

JOHOR BAHRU: Seorang wanita dipercayai warga tempatan berputih mata selepas dirinya terpedaya dengan sindiket pelaburan saham di luar negara dan mengalami kerugian sebanyak RM1,450,000.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar A/L S. Muthuvelu berkata, pihaknya menerima satu laporan polis pada Selasa daripada mangsa berusia 44 tahun yang mendakwa telah ditipu.

Pengadu yang juga seorang broker pada Mei lalu telah melayari Facebook dan terlihat iklan pelaburan ‘Stock Market’ di Hong Kong (Pantheon Ventures) yang menawarkan keuntungan sebanyak 100 peratus iaitu 25 peratus untuk agen dan 75 peratus untuk pelabur.

“Pengadu kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan Whatsapp nama V-27 Pantheon Market Insight Academy di mana pengadu diberi penerangan mengenai pelaburan tersebut.

“Mangsa juga ditawarkan perjalanan percuma ke Hong Kong untuk berjumpa dengan pelabur di sana,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kumar menjelaskan mangsa terpedaya dengan keuntungan yang dijanjikan sehingga RM1.5 juta menyebabkan mangsa membuat pembayaran ke beberapa akaun bank tempatan antara tempoh bulan Jun hingga Ogos 2024.

Dalam perkembangan berkaitan, selepas pembayaran dibuat, mangsa dapati pelaburannya menjana keuntungan seperti dipaparkan dalam aplikasi APEX yang bertujuan untuk memantau pelaburan berkenaan.

Bagaimanapun, pelbagai alasan diberikan suspek apabila mangsa ingin mengeluarkan lagi wang keuntungan, seperti mempunyai tunggakan wang pelaburan dan tidak mengikut peraturan mereka sehinggalah disekat daripada kumpulan Whatsapp tersebut.

“Pengadu percaya telah ditipu dan mengalami kerugian berjumlah RM1,450,000.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda,” katanya.

Untuk rekod, bagi tempoh Januari hingga 20 Ogos 2021, sejumlah 399 kes tipu pelaburan dengan kerugian berjumlah RM32.9 juta telah dicatatkan.

Justeru, polis mengingatkan orang ramai agar tidak mudak percaya dengan pelaburan yang ditawarkan secara atas talian yang menjanjikan pulangan yang lumayan