Kedudukan Melaka diperkukuh sebagai destinasi pelancongan, penerbangan serantau

Oleh: Shafira Aziz

KUALA LUMPUR: Melaka terus memperkukuhkan kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelancongan utama dengan pelbagai inisiatif menarik bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

Bertambah menarik apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) akan menjadi hub penerbangan harian dari Batu Berendam ke Singapura yang dikendalikan oleh Scoot Airlines dengan harga tiket bermula RM280 bermula Oktober depan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata demikian dengan menambah bahawa ianya akan memberi peluang kepada pelancong untuk melawat Melaka sebelum terus ke Changi, Singapura.

Menurutnya, lebih banyak syarikat akan berminat untuk bertapak di LTAM selepas Scoot Airlines memulakan operasi di Melaka.

“Sebelum ini, kerajaan negeri Melaka telah menawarkan syarikat penerbangan lokal tidak berminat untuk mengguna pakai LTAM.

“Namun, syarikat-syarikat lain dijangka akan turut berminat selepas Scoot Airlines mula bertapak di sini,” katanya dalam ucapan di Majlis Penerangan Talk (PenTalk) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) sempena Perhimpunan Agung UMNO pada Rabu.

Selain sektor penerbangan, Genting Cruise akan menjadikan Melaka sebagai hab persinggahan mingguan bagi kapal persiaran mewah bermula 11 November depan.

Pelayaran ini akan menarik lebih 200,000 pelancong dari Singapura setiap tahun, yang berpeluang menikmati keindahan dan budaya Melaka selama 12 jam sebelum meneruskan pelayaran.

Rauf turut membuktikan keberkesanan TMM 2024 dengan pencapaian kunjungan pelancong sebanyak 8.7 juta setakat Julai 2024.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa Melaka kini bersedia untuk menjadi hab pelancongan dan penerbangan yang lebih besar.

“Ia adalah hasil kestabilan politik dan dasar kerajaan perpaduan yang memfokuskan kesejahteraan rakyat,” tambahnya.

Dengan semua inisiatif ini, Melaka bersedia untuk menjadi destinasi pelancongan yang lebih menarik dan TMM 2024 dijangka akan menjadi tahun gemilang bagi industri pelancongan negeri itu.