WHO Lancar Pelan Strategik Cegah Penularan Wabak Mpox

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) melancarkan usaha global untuk menangani penularan cacar monyet (Mpox) daripada manusia kepada manusia.

Menurut kenyataan WHO, Pelan Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Strategik akan bermula dari September 2024 hingga Februari 2025, memerlukan pembiayaan sebanyak AS$135 juta (RM587.9 juta).

Pelan itu bertujuan untuk meningkatkan strategi pengawasan dan tindak balas, memastikan akses saksama kepada diagnostik dan vaksin, mengurangkan penularan haiwan ke manusia, serta memperkasakan komuniti dalam mengawal wabak.

“Pelan vaksinasi itu menyasarkan golongan paling berisiko seperti kontak rapat kes dan pekerja kesihatan untuk memutuskan rantaian penularan,” tulis kenyataan itu pada Isnin.

Dalam pada itu, pelan berkenaan akan memberi tumpuan kepada kepimpinan dan bimbingan strategik, serta memastikan akses kepada rawatan perubatan bagi kumpulan paling berisiko di negara terjejas.

“Wabak mpox di Republik Demokratik Congo dan negara jiran boleh dikawal dan boleh dihentikan,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Anda Mungkin Berminat