Remaja maut, nahas 7 kenderaan

PONTIAN: Seorang remaja yang menunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Jalan Sinar Harapan Batu 27, Pekan Nanas, dekat sini pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nanas, Pegawai Bomba Kanan II, Bakhtiar Chik berkata, kemalangan membabitkan tiga motosikal, sebuah kereta Perodua Myvi, Alza, Toyota Fortuner dan Honda Civic.

Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.57 pagi, sebelum tujuh anggota dari BBP Pekan Nanas ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, terdapat empat mangsa cedera dan seorang penunggang maut. Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Nurhakimi Mohd Rashidi, 18 tahun.

“Kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum anggota tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.