KOTA KINABALU: Dua individu rentung dalam kebakaran kereta selepas terbabit kemalangan tiga kenderaan di Jalan Kepayan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, identiti kedua-dua mangsa yang menaiki Perodua Axia masih belum dikenal pasti.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Asama Saruddin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 2.30 pagi.
Katanya, pasukannya dibantu pasukan BBP Putatan ke lokasi, yang mendapati kereta itu terbakar sepenuhnya selepas kemalangan.
“Tiga kenderaan yang kemalangan adalah Perodua Axia (terbakar), Perodua Viva dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux,” katanya.
Menurutnya, operasi pemadaman segera dilakukan dan api berjaya dikawal pada 2.58 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua mangsa rentung di dalam Perodua Axia. Kedua-duanya dikeluarkan pasukan dan mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Asama berkata, pemandu Perodua Viva iaitu lelaki berusia 34 tahun dan pemandu Toyota Hilux berusia 22 tahun cedera ringan.