Bot tunda tanpa nakhoda sah ditahan

Oleh: Kamilia Ali

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bintulu telah menahan sebuah bot tunda di kedudukan empat batu nautika Barat Laut Kuala Kemena, di sini pada Ahad.

Menurut Kapten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah, bot ronda Maritim Malaysia telah menjalankan OP PERMAI 01/2019 mendapati sebuah bot tunda bewarna putih yang sedang membuat kerja-kerja pemunggahan kayu balak ke atas kapal induk untuk dieksport ke negara India telah ditahan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati bot tunda tersebut dikendalikan oleh empat kru termasuk nakhoda warga Myammar dan seorang kru warga tempatan berumur 28 hingga 35 tahun.

“Bot tunda berkenaan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu tidak memaklumkan secara bertulis kepada Pendaftar Kapal berhubung pertukaran nama nakhoda di dalam sijil pendaftaran kapal yang memperuntukan hukuman kompaun sebanyak RM2,500.

“Bot tunda berserta dokumen telah ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru itu, pihak Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

Sebarang maklumat serta aduan berkaitan sebarang aktiviti yang mencurigakan serta kemalangan di laut secara terus ke talian kecemasan NG999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254) atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam untuk maklum balas segera.