Oleh: Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani
MALAYSIA baharu sahaja menyambut Hari Kemerdekaan yang Ke-67 pada 31 Ogos 2024 yang lalu dengan penuh kegembiraan dan kemasyhuran. Kali ini jelas terpancar sinar kegembiraan di riak wajah dan hati nurani rakyat.
Bukan mudah untuk nusa dan bangsa memperolehi dan mengecapi kemerdekaan ini. Yang lebih penting ialah bagaimana untuk mengekalkan dan menjamin kemerdekaan Malaysia ini berterusan lantas memastikan negara tercinta ini kekal berdaulat dan mengelak sebarang sahaja usaha untuk menganggu-gugat kedaulatan tersebut.
Selain kemerdekaan fizikal yang kita perolehi setelah merdeka daripada penjajahan British, cabaran kita juga adalah untuk terus memerdekakan minda kita daripada pemikiran penjajah dan kolot lagi ekstrem yang harus ditanggani dalam usaha mempastikan Malaysia terus aman dan sejahtera.
Kritikan terhadap PMX dangkal
Setelah kita menjiwai hari kemerdekaan ini, timbul pula satu artikel terbitan majalah Economist bertajuk “Why does the West back the wrong Asian Leaders?” (Terjemahan: Kenapa pihak Barat menyokong Pemimpin Asia yang salah?).
Terbitan majalah ini mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan mendapat sokongan Barat sebelum ini, namun kita tidak lagi bersama Barat kerana telah mula menjalinkan hubungan yang baik dengan musuh Barat seperti Rusia, China dan secara terbuka berjumpa pemimpin Hamas yang terbunuh di Iran baru-baru ini iaitu Ismail Haniyeh.
Anwar Ibrahim ditonjolkan sebagai pemimpin yang melupakan Barat dan sikap ini mengikut majalah Economist bukanlah suatu yang baharu kerana pemimpin Asia yang disokong Barat sebelum ini seperti Aung San Suu Kyi di Myanmar dan Joko Widodo (Jokowi) di Indonesia juga bertindak untuk tidak lagi bersama negara Barat Liberal setelah mereka berada di tampuk pemerintahan. Yang jelas pandangan majalah Economist ini agak dangkal kerana beberapa sebab.
Siapa Barat?
Pertama, siapakah Barat yang dimaksudkan. Barat adalah konsep yang bukan ‘homogenous’ atau pelbagai dan tidak menerapkan hanya satu ideologi yang khusus seperti liberalisme. Ramai juga pihak yang mendokong Donald Trump di Amerika Syarikat adalah beraliran konservatisme.
Kerajaan Buruh yang menguasai United Kingdom kini adalah beraliran moderat sosialisme. Banyak negara-negara Scandinavia seperti Finland, Sweden dan Norway mengakui negara mereka lebih ke arah komunitarianisme. Jadi konsep Barat ini tiada kaitan dengan ideologi. Ianya lebih kepada satu konsep yang dicipta semasa Perang Dingin bagi membezakan kuasa paksi Barat yang diketuai Amerika Syarikat yang berhadapan dengan Timur yang diketuai Soviet Union dan China.
Mengikut sejarawan iaitu Wiliam H. McNeill yang menjelaskan konsep Barat ini agak mengelirukan kerana mencakupi negara di benua Eropah Barat (tidak Timur), Amerika Utara (tidak Selatan) dan negara-negara yang mengamalkan nilai-nilai Barat seperti Jepun dan Australia. Yang pasti konsep Barat ini juga agak kabur yang mana interpretasinya masih mempunyai elemen pemikiran penjajah.
Malaysia ada acuan tersendiri
Kedua, Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat, berhak menentukan hala tuju politik, sosio-ekonomi dan pentadbirannya mengikut acuannya sendiri. Selain itu, Malaysia juga mengambil pendekatan hubungan antarabangsa bersahabat dengan sesiapa sahaja yang boleh membawa kebaikan kepada kepentingan nasionalnya.
Sekiranya Anwar Ibrahim hanya berbaik-baik dengan pihak Amerika Syarikat dan Eropah Barat dan meminggirkan negara lain, ini jelas menjadikan Malaysia sebuah negara yang tidak berdaulat kerana Malaysia akan dikuasai pemerintah yang hanya mengikut telunjuk Barat seperti apa yang disebut oleh Frantz Fanon di dalam bukunya “Black Skin, White Masks” (Kulit Hitam, Topeng Putih) yang merujuk kepada apa yang berlaku di Algeria iaitu orang kulit hitam tetapi berjiwa kulit putih. Ini bermaksud mindanya telah dikuasai pemikiran kulit putih penjajah Barat.
Akta Hasutan
Kritikan yang diutarakan juga jelas tidak memahami perspektif politik di Malaysia dan melihatnya hanya dari perspektif Barat yang songsang. Misalnya Anwar Ibrahim meneruskan perlaksanaan Akta Hasutan yang pernah diperjuangkan oleh beliau sendiri untuk dipinda dan digugurkan.
Yang pasti pendekatan politik Anwar Ibrahim adalah amat pragmatik yang mana Akta Hasutan kini telah berlaku banyak pindaan. Kini tiada siapa akan dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan sekiranya mereka mengkritik pemimpin negara.
Akta ini hanya dikenakan kepada pihak yang memanipulasi kebebasan bersuara yang boleh menjadikan Malaysia, negara pelbagai kaum ini, tidak stabil seperti memainkan isu 3R (menghina Kaum, Agama dan Institusi Raja). Perlembagaan Persekutuan melindungi agama Islam (Perkara 3), Bahasa Melayu (Perkara 152), Hak Istimewa Melayu/Bumiputera (Perkara 153), dan Institusi Diraja (Perkara 181).
Anwar Ibrahim dan Barat
Ketiga, Malaysia juga mengamalkan pemerintahan yang menggalakkan pelaburan asing yang datang daripada pelbagai negara. Pelaburan daripada Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah terus meningkat di samping Malaysia juga menerima pelaburan daripada China sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia, Jepun, Singapura, India, dan Rusia.
Keinginan Malaysia untuk bekerjasama di dalam BRICS juga mungkin dilihat oleh penulis Economist ini sebagai meminggirkan negara Barat yang pernah menyokong pemimpin di Asia. Anwar Ibrahim dan Malaysia mempunyai hak untuk menyatakan pendirian negara untuk berkawan dengan sesiapa sahaja dan tidak memusuhi negara yang ingin bersahabat dengan Malaysia.
Namun, dalam isu Palestin, Anwar Ibrahim dengan lantang di pentas antarabangsa mengkritik sikap sebahagian negara yang bersekongkol dan mengiyakan tindakan pembunuhan kaum yang dilakukan rejim apartheid Israel terhadap penduduk Palestin.
Malaysia tidak akan mengiktiraf Israel dan tidak kompromi akan kekejaman yang dilakukan oleh Israel. Malah pihak Barat yang sering melaungkan kebebasan dan hak asasi manusia, dilihat beretorik dan mengabaikan prinsip ini bila berhadapan dengan pembunuhan kaum di Palestin.
Majalah Economist nakal
Akhir sekali, kritikan yang diutarakan oleh majalah Economist ini adalah tidak berasas sama sekali dan nakal. Tiada pemimpin negara Asia khususnya Malaysia yang mahu dan akan mengikut telunjuk mana-mana pihak seolah-oleh negara Asia ini masih dijajah semula. Jadi Malaysia termasuklah Indonesia yang disebut artikel tersebut terus mengamalkan demokrasi sebagai asas pentadbiran namun menolak apa juga cubaan untuk campurtangan di dalam politik domestik negara masing-masing.
Sebagai kritikan akhir kepada artikel Economist tersebut, satu persoalan perlu ditanya, Barat ini berprinsipkah?
Penulis juga merupakan Profesor Politik dan Hubungan Antarabangsa UUM.