Maimunah sampai amanat pertama buat warga kerja DBKL

KUALA LUMPUR: Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif buat pertama kalinya hari ini menyampaikan amanatnya kepada warga kerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Perhimpunan Bulanan yang diadakan di Auditorium DBKL di sini.

Pada majlis itu, Maimunah menyatakan kesediaan beliau daripada segi mental dan fizikal untuk menggalas tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

Menerusi satu hantaran di Facebook DBKL, dalam ucapannya, Datuk Bandar wanita pertama DBKl itu turut menyentuh aspek melaksanakan tugas dan amanat dengan jujur, Amanah serta berhemah.

“Selain itu, beliau turut mengingatkan seluruh warga kerja DBKL agar meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada warga kota dan bersedia menghulurkan bantuan serta sentiasa bersifat telus ketika berurusan.

“Bagi meningkatkan reputasi DBKL, Datuk Bandar (Maimunah) mengajak semua warga kerja DBKL untuk melaksanakan pentadbiran yang ‘competent (tadbir urus cekap), accountable (akauntabiliti), transparent (telus), effective (efektif) dan efficient governance’ (pentadbiran yang efisien) (CATEE),” katanya.

Pada 15 Ogos lalu, bekas Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat), Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif telah dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur bagi menggantikan Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh yang telah tamat tempoh sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Pelantikan Maimunah telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaras dengan Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Umum mengetahui bahawa pada minggu pertama beliau menerajui DBKL, Kuala Lumpur telah dilanda dengan beberapa insiden seperti kejadian banjir, tanah runtuh dan tanah jerlus yang bukan sahaja menguji keupayaan mengendalikan situasi tetapi juga kepimpinan beliau dalam menerajui DBKL menghadapi cabaran.

Menurut DBKL, usaha pembaharuan yang dibawa oleh Maimunah itu boleh dicapai menerusi kerja berpasukan, komunikasi berkesan koordinasi yang teratur.

“Maimunah turut menyatakan aspirasi beliau agar DBKL mendapat pengiktirafan bersih daripada Badan Ketelusan Antarabangsa (TI) dan melaksanakan semua cadangan dari Jabatan Audit Negara dengan sempurna,” tambah kenyataan itu lagi.