Oleh: Kamilia Ali
PUTRAJAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyambut baik usaha United Malacca Berhad (UMB) untuk meneroka projek penanaman koko berskala besar yang bakal dilaksanakan di Sabah pada akhir tahun ini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, UMB telah menunjukkan minat dan komitmen yang tinggi untuk memulakan penanaman koko di peringkat ladang dalam beberapa sesi libat urus bersama KPK pada tahun ini.
“Penyertaan syarikat perladangan swasta dalam sektor huluan koko adalah amat dialu-alukan supaya kita dapat meningkatkan hasil dan pengeluaran biji koko tempatan tanpa terlalu bergantung kepada sumber import, di samping mengisi jurang dalam pengeluaran koko untuk memenuhi permintaan global.
“Usaha ini juga akan membawa impak positif dan memberi keyakinan besar kepada para pemain industri koko terutamanya pekebun kecil untuk mengaktifkan semula aktiviti penanaman koko,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chan berkata, harga koko kini telah mencapai harga tertinggi dalam sejarah dengan anggaran RM30,000/Metrik Tan (MT) berbanding harga pada tahun lepas yang hanya sekitar RM7,000 hingga RM8,000/MT disebabkan bekalan biji koko berkurangan secara mendadak akibat wabak perosak tanaman di Afrika.
“Penanaman koko sememangnya mempunyai potensi besar untuk diterokai semula dan pihak Lembaga Koko Malaysia (LKM) kini juga sedang giat menjalankan penyelidikan dan membangunkan teknologi menggunakan ‘Internet of Things’ (IoT), automasi dan mekanisasi.
“Ia bertujuan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan ladang dan pengeluaran biji koko, di samping mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh,” tambahnya.
Untuk info, UMB adalah sebuah syarikat perladangan swasta yang beroperasi sejak tahun 1910 dan telah disenaraikan di Bursa Malaysia.
Perniagaan utamanya adalah dalam bidang perladangan kelapa sawit dan operasi kilang-kilang minyak kelapa sawit.
Berdasarkan statistik LKM, jumlah keluasan tanaman koko di Malaysia adalah sebanyak 6,123.07 hektar dan mempunyai seramai 5,317 petani koko pada tahun 2023.
Baca juga: