Oleh: Shafira Aziz
TANGKAK: Seorang lelaki maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda di KM9 Jalan Sengkang-Teratai pada pukul 5.35 petang hari Rabu.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata mangsa merupakan seorang lelaki yang tidak mempunyai identiti pengenalan diri berusia dalam lingkungan 40 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dinaiki mangsa telah hilang kawalan dan terbabas lalu terlanggar tebing tanah yang berada di bahu jalan.
“Mangsa yang berada di kabin kenderaan berkenaan telah terjatuh dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Roslan turut memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau berbahaya.
Dalam pada itu, pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes kemalangan tersebut untuk menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat di talian 012-2306943.