PENGARAH dan pelakon, Syamsul Yusof dan Ira Kazar sah bercerai talak satu hari ini selepas mendirikan rumah tangga selama setahun 9 bulan.
Peguam syarie yang mewakili Ira, Muhammad Fadhil Abd Razak memaklumkan bahawa berlaku pelanggaran taklik sebanyak lima kali oleh Syamsul terhadap isterinya sejak 14 Ogos lalu.
“Mahkamah sudah memutuskan penceraian sudah berlaku di luar mahkamah antara kedua-dua mereka.
“Keterangan sudah diambil dan keputusan sudah dibuat. Mereka telah sah bercerai talak satu,” katanya.
Perkara tersebut turut disahkan hakim syarie Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor, Mohd Faizal Habib selepas Ira, atau nama sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin memfailkan lafaz cerai taklik 21 Ogos lalu.
Terdahulu, Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof memberi kejutan kepada ramai apabila memfailkan penceraian terhadap Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.
Sebelum ini, mereka mendirikan rumah tangga pada 6 Januari 2023 di Selatan Thailand.
Susulan perkahwinan tersebut, pelakon Puteri Sarah Liyana yang merupakan isteri kepada Syamsul ketika itu memfailkan penceraian dan sah berpisah pada 14 Jun tahun lalu.
Hasil perkahwinan Syamsul dan Sarah, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 7, dan Sumayyah, 5.