Selepas lawatan KSN, JPJ janji tambah baik perkhidmatan kaunter

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menambah baik kualiti perkhidmatan kaunter jabatan itu di seluruh negara.

Ia merupakan susulan daripada lawatan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar ke kaunter JPJ Cawangan Galeria, Putrajaya pada Isnin lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, penambahbaikan ini diharapkan dapat mengurangkan kesesakan pelanggan dan masa menunggu di kaunter perkhidmatan.

Oleh itu, pihak JPJ akan melaksanakan empat penambahbaikan untuk memudahkan lagi urusan pelanggan yang mengunjungi kaunter JPJ seluruh negara.

“Penambahbaikan tersebut termasuk menyediakan pegawai pemudahcara (JPJ Assist) untuk membantu urusan pelanggan yang boleh dibuat secara atas talian.

“Selain itu, JPJ akan menggalakkan pelanggan untuk membuat urusan pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) secara atas talian melalui aplikasi MyJPJ dan portal mySIKAP,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, sistem JPJeQ akan ditambah baik untuk membolehkan pelanggan mendapat nombor giliran melalui imbasan kod QR sahaja.

Aedy Fadly berkata, pihak JPJ juga akan melaksanakan pindaan pada Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk urusan berkaitan pelesenan kenderaan dan pemandu yang melibatkan dokumen fizikal digantikan dengan e-dokumen atau e-borang sahaja.

Tambah beliau lagi, penambahbaikan tersebut menunjukkan komitmen JPJ dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang mesra pelanggan dan cekap demi menjamin kesejahteraan dan keselesaan kepada rakyat.