Jojo berjaya tewaskan Crus dengan kemenangan KO

JAGUH muda Muay Thai negara, Muhammad Johan ‘Jojo’ Ghazali Zulfikar, mencipta sejarah peribadi apabila berjaya menewaskan petarung Mexico, Josue ‘Tuzo’ Cruz, melalui kemenangan knockout (KO) dalam pertarungan ONE 168: Denver.

Lebih manis, kemenangan tersebut diraih di Ball Arena, Denver, Colorado, Amerika Syarikat yang merupakan tempat kelahiran ibunya, Jeanna Johnson, menjadikan detik ini penuh makna bagi Jojo, yang baru berusia 17 tahun.

Dalam perlawanan tersebut, Jojo menampilkan aksi luar biasa, mendominasi Cruz yang berusia 28 tahun.

Walaupun berdepan beberapa tumbukan awal dari Cruz, Jojo pantas bangkit, menunjukkan kematangan luar biasa.

Ketika 10 saat terakhir pusingan pertama, Jojo melancarkan tumbukan tangan kiri yang tepat mengenai kepala Cruz, yang terus menjatuhkan lawannya dan menyebabkan Cruz tidak mampu bangkit semula.

Kemenangan KO itu sekaligus melonjakkan rekod kemenangan Jojo kepada 6-1 serta menghadiahkan bonus bernilai AS$50,000 (RM216,699).

Namun, kemenangan ini bukan sekadar tentang kejayaan di dalam gelanggang, ia juga merupakan penebusan kepada kekalahan pertama dalam karier profesionalnya ketika menentang Nguyen Tran Duy Nhat di Bangkok pada Jun lalu.

Kemenangan itu bukan sahaja mengembalikan keyakinan Jojo, tetapi juga membawa simbolik mendalam apabila dia meraih kejayaan besar di tanah kelahiran ibunya sendiri.

Jojo, yang masih remaja, kini semakin menonjol sebagai bintang Muay Thai dengan semangat juang yang tinggi dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi.

Dengan kemenangan di Denver, masa depan kariernya bukan sahaja semakin cerah, tetapi menunjukkan bahawa kekalahan bukan penamat, sebaliknya permulaan kepada kejayaan lebih besar.

Baca juga: