Kandungan TikTok Abang Bas ‘over’

Oleh: Norman Radzuan

ULASAN: DARI semalam kecoh fasal Abang Bas lalu saya pun mencari ‘content’ (kandungan) tersebut di TikTok dan Twitter (X). Saya melihat satu persatu kandungannya. Geng TikTok pertahankan kandungan tersebut dan geng X maki hamun Abang Bas.

Sebelum itu saya huraikan sedikit mengenai ‘content creator’ (pencipta kandungan) ini. Saya pernah menulis 10 tahun dahulu sebelum wujudnya TikTok… “Now anyone can be journalist.”

Bila semua orang boleh menulis maka huru-harahlah jadinya. Pelbagai watak yang adakalanya kita rasa bodohnya dia ini, bijaknya dia ini dan pelbagai andaian mengikut penulisan seseorang.

Sekarang ramai menggunakan TikTok sebagai platform media sosial yang berbentuk video. Ramai menggunakan TikTok untuk menarik perhatian. Pelbagai cara dilakukan hingga kadang-kadang kita rasa keterlaluan dan mengundang rasa menyampah seperti Datuk Alif Syukri dan ramai lagi.

Ada yang terkena penyakit ‘attention seeker’ (pencari perhatian). Ada individu yang mungkin tidak perasan mereka alami gangguan personaliti sehinggalah ia mendatangkan kesan tidak baik dalam hidup mereka.

Kadang-kadang itu lagaknya macam artis. Gila perhatian dan gila sanjungan sebab sudah sangat popular.

Hingga mereka tidak perasan sesetengah sudah mengalami penyakit seperti ‘personaliti narsisistik’ iaitu taksub kepada pujian dan pangkat. Merasakan diri sendiri sentiasa betul. Tiada empati kepada orang lain. Gemar mengeksploitasi orang lain untuk kejayaan diri sendiri.

Satu lagi dipanggil ‘personaliti histrionik’ di mana mereka terlalu taksub kepada pencari perhatian. Sentiasa mengharapkan penerimaan daripada orang lain. Bersikap dramatik dan pandai berlakon.

Ada TikTokers jika kandungan kurang ‘view’ (tontonan) dia rasa stres sangat hingga membawa kepada anxiety. Dalam hatinya berkata, “aku sudah tidak popular?”.

Berbalik kepada topik, saya melihat video itu biasa apatah lagi seorang bapa saudara dan anak saudara. Logik akal tiada orang yang melakukan kesalahan mahu ditunjukkan kepada umum.

Di sekolah dulu jangan kata mencuri, kentut pun tiada siapa mahu mengaku. Begitulah dengan Abang Bas ini yang saya andaikan dia juga seperti ramai TikTokers di luar sana yang sudah hilang pertimbangan yang mana baik dan yang mana buruk kerana sudah mempunyai ratusan ribu pengikut.

Dia merasakan apa yang dibuatnya betul kerana ramai yang ‘like’ (suka) dan komen. Dia akan buat lagi kerana kandungannya mendapat ratusan ribu tontonan walaupun kandungan itu keterlaluan dan sebagainya.

Macam ustaz selebriti dan pendakwah selebriti. Walaupun buruk akhlaknya mengatakan orang bodoh, sesat, gangguan seksual dan sebagainya, tak dipedulikan sebab mereka ada jutaan peminat.

Malah jutaan peminat ini akan pertahankan mereka dengan cara apa sekali pun. Akhirnya yang tidak betul dibetulkan, masyarakat ‘tersesat’ kerana taksub dengan ‘lakonan’ alim mereka.

Begitu dengan Abang Bas dia tak faham apa dia buat itu tidak boleh dinormalisasikan. Tanya saya sebagai bapa saudara okay sahaja sebab ia direkodkan bukannya ‘hidden cameras’ (kamera tersembunyi).

Di situ kita faham dia tiada niat langsung. Saya tidak pernah dengar orang nak merogol, nak mencuri dia rekod dan masukkan ke media sosial untuk orang ramai tonton dan komen.

Lagipun dia anggap anak saudara kecil umur enam hingga tujuh tahun seperti anaknya. Seingat saya anak buah umur empat hingga lima tahun pun saya masih dukung.

Cuma saya tidak bersetuju dengan Abang Bas menggunakan kanak-kanak perempuan sebagai kandungan TikTok. Jika sekadar tunjuk dia sebagai pemandu bas sahaja sudah mencukupi.

Saya lebih bimbang anak kita tidur di rumah kawan, lebih bimbang jika anak-anak keluar pergi ‘clubbing’ (kelab malam), lebih bimbang anak pergi dating dan lebih bimbang anak-anak taksub dengan ustaz berfahaman Khawarij.

Saya percaya kaum ibu tentu ada yang tidak berpuas hati dengan pandangan saya. Adalah yang komen apa perasaan jika anak sendiri diperlakukan, apa akan jadi jika…… bla bla bla. Tak mengapa berbeza pandangan.

Penulis adalah bekas pengamal media dan kini menganalisis senario politik tanah air.

Anda Mungkin Berminat