Rangka berusia 16,000 tahun ditemui di Lembah Nenggiri


Oleh: Shafira Aziz

GUA MUSANG: Penemuan rangka manusia berusia 16,000 tahun di Lembah Nenggiri, dekat sini membuka lembaran baharu dalam sejarah arkeologi Malaysia.

Pasukan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai Dr Zuliskandar Ramli berjaya menemui rangka manusia purba tersebut.

Menerusi hantaran Facebook milik Mazlan Syafie di grup Astronomi dan Sains, penemuan tersebut menjadikannya antara penemuan arkeologi tertua di negara, menyaingi rangka ‘Perak Man’ yang sebelum ini dianggap sebagai rangka tertua di Malaysia.

“Rangka yang ditemui berada dalam keadaan ‘fully flexed’ atau membengkok, menggambarkan adat pengebumian masyarakat pra-Neolitik.

“Pasukan penyelidik turut menemui lebih 71,000 artifak prasejarah di 13 gua batu kapur di kawasan tersebut.

“Antara artifak yang dijumpai termasuk pecahan tembikar, alat batu, dan kristal, yang dipercayai digunakan dalam upacara pengebumian prasejarah,” katanya pada Khamis.

Selain itu, terdapat juga kristal yang ditemui mungkin mempunyai makna rohani atau simbolik, memberi dimensi baharu tentang kepercayaan dan amalan masyarakat purba.

“Ia menunjukkan bahawa masyarakat purba Lembah Nenggiri sudah memiliki sistem kepercayaan yang kompleks.

“Penemuan tersebut menunjukkan bahawa masyarakat yang mendiami kawasan tersebut tergolong dalam budaya Hoabinhian, sebuah budaya pemburu-pengumpul.

“Budaya ini juga ditemui di kawasan Asia Tenggara lain seperti Barat Daya China dan Indonesia,” tambahnya.

Dalam pada itu, Lembah Nenggiri kini menjadi tumpuan penting dalam kajian arkeologi Malaysia, tetapi ia menghadapi ancaman akibat projek hidroelektrik.

Penemuan tersebut memberi peluang kepada generasi akan datang untuk mengenali dan memahami sejarah awal negara sebelum kawasan tersebut ditenggelami air.