WHO: 25 peratus rakyat Gaza alami cacat kekal

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, 25 peratus daripada mangsa yang cedera dalam perang di Gaza, mengalami kehilangan upaya kekal yang akan menjejaskan kehidupan mereka di masa depan.

Menurut laporan Middle East Monitor, wakil agensi itu, Rik Peeperkorn berkata, ada antara mangsa kudung kaki atau tangan, sementara sebahagian lagi terpaksa menjalani proses pemulihan yang lama.

Kata beliau, sekurang-kurangnya 22,500 daripada penduduk awam yang cedera di Gaza dalam tempoh 11 bulan sejak perang meletus perlu menjalani pemulihan yang akan mengambil masa bertahun-tahun.

Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan berkata, jumlah kematian akibat perang Israel ke atas Gaza telah mencecah sekurang-kurangnya 41,118 orang, dengan lebih 95,000 cedera.

Peeperkorn menyifatkan kenaikan mendadak dalam proses pemulihan mereka diperlukan ketika sistem kesihatan terjejas akibat konflik yang berterusan.

Merujuk kepada analisis terkini mengenai jenis kecederaan akibat konflik di Gaza, WHO mendedahkan, ribuan wanita dan kanak-kanak termasuk dalam golongan yang cedera teruk dan yang mengalami lebih daripada satu kecederaan.

Jelas analisis berkenaan, sebanyak 13,455 hingga 17,550 kecederaan anggota badan yang serius dilaporkan dengan antara 3,105 hingga 4,050 daripadanya hilang tangan atau kaki.

Kecederaan lain termasuk melibatkan saraf tunjang, kecederaan otak traumatik dan melecur teruk.

Pada masa sama, jelas WHO, hanya 17 daripada 36 hospital di Gaza kini berfungsi ketika perkhidmatan penjagaan kesihatan utama sering terjejas akibat perang yang berterusan.