Oleh: Hanim Nadia
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 50 pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen (JIM) yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing menggunakan ‘counter setting’.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, mereka ditahan dalam tiga operasi iaitu Ops Pump, Ops Setting dan Ops Pump 2.0 bagi membawa masuk pekerja asing melalui kaunter tertentu tanpa pemeriksaan yang ditetapkan JIM.
“Kesemua penguatkuasa itu ditahan pada 5 September lalu di mana 12 daripadanya bertugas di Selangor.
“Turut ditahan ialah enam di Pahang selain masing-masing empat di Johor dan Melaka,” katanya pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat SPRM, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Azam berkata, turut ditahan ialah sembilan pegawai daripada bahagian perisikan JIM selain seorang sarjan wanita Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut beliau lagi, sebanyak 37 kertas siasatan dibuka berhubung kes berprofil tinggi ini dan 95 individu telah diambil keterangan.
Menerusi tangkapan dibuat, kata beliau, pihaknya turut menyita wang tunai berjumlah RM518,250 yang dijumpai daripada seorang Pegawai Imigresen Kanan wanita Gred KP22 di Pahang.
“Wang tersebut diletakkan di dalam bagasi di bilik tidurnya.
“Selain itu, sejumlah wang tunai sebanyak RM248,443 dirampas daripada seorang pegawai lelaki imigresen Gred KP19 di Melaka dan duit itu dijumpai di bawah katil bilik tidur utamanya.
“Jumlah sitaan wang tunai berjumlah RM1.4 juta berjaya dirampas, selain SPRM turut menyita wang tunai AS$9,900 dan mata wang Baht 5,470,” ujarnya.
Dalam operasi itu, tambah Azam, sebanyak sembilan buah kereta dan 13 unit motosikal yang dipercayai dibeli daripada wang rasuah telah disita.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut menyita 27 keping dinar emas seberat 575.75 gram dengan anggaran nilai lebih RM200,000.
Jelasnya, dinar emas itu dirampas daripada pegawai Imigresen Kanan Gred KP22 di Negeri Sembilan.
“Lebih 75 utas barang kemas seperti cincin, gelang, rantai, loket serta subang dirampas, selain lebih 12 jam tangan pelbagai jenama dan lebih 30 telefon pintar pelbagai jenama dan komputer riba dirampas,” ujarnya.
Sementara itu Azam berkata, sebanyak 215 akaun bank milik 16 syarikat dan 84 individu dibekukan dan nilai pembekuan berjumlah RM3.6 juta.