Dua sekawan pilih cuti di Thailand sebab segala-galanya murah

Oleh: Syahirah

TIDAK perlukan modal besar menjadi penyebab utama dua sekawan ini bercuti di Thailand berbanding lokasi percutian lain dalam negara.

Pengusaha kafe, Nurul Faradilla dan temannya Nur Hafena, pekerja swasta berpendapat kos percutian di Malaysia lebih membebankan kerana kos penginapan tinggi dan barangan yang dijual juga terlampau mahal.

Nurul Faradilla, 34, berkata biarpun tukaran duit di negara itu lebih mahal ketika ini, namun segalanya masih murah apabila berada di sana.

“Bercuti dekat sana lebih murah, kalau pergi tiga hari dua malam, kos baru RM500 termasuk penginapan, sewa motor dan makan.

“Hotel murah, cantik dan bersih. Makanan halal pon senang nak cari dan sedap,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Rabu.

Bagaimanapun, ujarnya dengan kos yang sama tetap tidak akan mencukupi jika bercuti di dalam negara.

“Rakyat Malaysia ni teringin nak pergi oversea tapi dengan bajet yang rendah, jadinya memang Thailand adalah destinasi yang pilihan,” katanya.

Jelasnya, rakyat lebih memilih bercuti di Thailand kerana ingin melancong ke luar negara dengan bajet yang rendah. Berbanding perkhidmatan, makanan dan penginapan di Thailand pula disifatkan lebih berkualiti dan bertaraf lima bintang dan lebih istimewa harga yang ditawarkan juga masih murah.

Sementara itu, Nur Hafena, 28 mengharapkan pihak bertanggungjawab dapat melakukan penambahbaikan kepada tempat-tempat pelancongan dalam Malaysia.

“Bayangkan lepas ni cucu-cucu semua dah tak nak pergi melancong dalam negeri sebabnya negara luar heboh makanan lebih murah, tempat lebih cantik dan banyak tempat menarik.

“Sedangkan di Malaysia sendiri banyak ‘hidden gem’ yang masih belum diterokai dan sangat unik yang tiada di negara luar,” katanya lagi.

Terdahulu, media tempatan melaporkan hampir 100,000 pelancong Malaysia memanfaatkan cuti panjang hujung minggu sempena sambutan Hari Malaysia untuk bercuti di wilayah Selatan Thailand. Mereka menyumbang lebih daripada 1 bilion Baht (RM129 juta) kepada ekonomi tempatan.

Anda Mungkin Berminat