SPRM: Dua anak Tun Mahathir sudah isytihar harta

Oleh: Hanim Nadia

PUTRAJAYA: Dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Mirzan dan Tan Sri Mokhzani telah mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya kini sedang melaksanakan siasatan dan pelarasan berhubung pengisytiharan itu dengan pihak peguam.

“Mereka telah membuat pengisytiharan harta mengikut masa yang telah ditetapkan.

“Pegawai SPRM sedang mendapatkan penjelasan daripada pihak peguam berhubung pengisytiharan harta yang dibuat,” katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Pada Ogos lalu, SPRM bersetuju melanjutkan masa kepada dua anak Tun Mahathir untuk mengisytiharkan aset masing-masing sehingga pertengahan September ini.

Mirzan dan Mokhzani diarahkan SPRM pada Januari mengisytiharkan aset mereka sejak 1981 kemudian mereka telah menerima dua tempoh lanjutan berbanding tarikh akhir asal pada Februari.

Pada 24 Mei lalu, Mirzan dan Mokhzani dilaporkan memohon kepada SPRM untuk melanjutkan tarikh akhir untuk tempoh pengisytiharan harta walaupun telah diberikan sebelum ini.

Dilaporkan mereka turut disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.