Fatwa Perlis larang ajaran sesat GISB

Oleh: Kamilia Ali

KANGAR: Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis hari ini memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings Sdn. Bhd. mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah, berkesinambungan daripada ajaran al-Aqram yang telah difatwakan sesat.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Mufti Perlis, segala ajaran, aktiviti dan apa sahaja yang boleh membantu GISB Holdings Sdn. Bhd adalah dilarang.

“Pegangan kumpulan GISBH yang mengkultuskan pemimpin mereka atau tokoh-tokoh agama yang mereka percaya sehingga melampaui batasan ke tahap seakan menyamakan kedudukan pemimpin tersebut setaraf Nabi SAW.

“Kepercayaan pemimpin mereka yang dianggap mengetahui perkara yang ghaib seakan Tuhan adalah fahaman yang bersifat batiniyyah, menyeleweng dan sesat,” katanya.

Kenyataan itu turut menyatakan akibat pengkultusan itu menyebabkan ketaksuban yang melampau sehingga mentaati pemimpin atau golongan agama sekali pun jelas bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah.

“Kesesatan yang disebarkan turut menjadikan pengikut mematuhi arahan pemimpin serta mengambil keberkatan secara melampau dari sisa tubuh badan pemimpin mereka.

“Dalam masa yang sama, hukum-hakam syarak yang baharu untuk menjustifikasikan aktiviti mereka yang bercanggah dengan syarak iaitu hukum-hakam solat, pernikahan (munafakat) dan juga muamalat,” jelasnya lagi.

Dalam kenyataan sama, Jawatankuasa Fatwa Perlis juga menyatakan model ekonomi yang diamalkan GISBH bukanlah model ekonomi Islam yang sebenar, bahkan ia bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam.

“Unsur penindasan dan perhambaan terhadap mereka yang terlibat serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak, wanita dan keluarga demi kepentingan pihak yang dikultuskan berdasarkan bukti-bukti yang diterima.

Justeru, Jawatankuasa Fatwa Perlis menasihati agar semua pihak hendaklah sama-sama memantau bagi memastikan individu yang terlibat dalam GISBH tidak kembali kepada ajaran sesat tersebut.