‘Kita belum betul-betul menang’ – Syed Ibrahim

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Memaknai reformasi, melawan kleptokrasi dan membina semula negara ke dalam pelaksanaan nyatanya tidak mudah, namun ia tidak mustahil, kata Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Syed Ibrahim Syed Noh.

Laungan “Lawan Tetap Lawan, Lawan Sampai Menang” oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika acara Himpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Jumaat lalu sememangnya memberi impak yang cukup besar buat pejuang-pejuang reformasi untuk meneruskan perjuangan.

“Dengan tekad “lawan sampai menang”, saya menilai semula takrifan “menang” yang kita laungkan.

“Kita belum betul-betul menang. Jalannya masih jauh dan hujungnya belum kelihatan. Namun, bibitnya sudah ternampak,” katanya dalam satu kenyataan.

Syed Ibrahim yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor berkata, beliau menyedari bahawa tekad reformasi puluhan tahun dahulu wajar dikekalkan.

“Tekad integriti, telus, keadilan dan kesaksamaan mesti terus didokong.

“Sebagai wakil rakyat, ini menjadi satu kewajipan. Didokong sokongan rakyat, saya percaya, kita mampu bina semula negara.

“Saya kira, senjata-senjata musuh seperti sentimen perkauman, perpecahan, fitnah memfitnah, tebuk atap, politik kotor wang dan pelbagai taktik lain ini sangat kecil jika dibandingkan dengan apa yang kita sedang usahakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang meminta agar pejuang-pejuang reformasi supaya terus memasang tekad untuk meneruskan perjuangan ke hadapan secara bersama.

Untuk info, pada tahun 1998, menjadi titik mula bagi Syed Ibrahim Syed Noh bergiat aktif membawa suara dalam persatuan dan gabungan rakyat.

Beliau melibatkan diri dalam Gerakan Mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Malaysians for Free and Fair Election (MAFREL), BERSIH 2.0 dan badan-badan lain banyak merubah haluan hidup dan perjuangannya.

Pada awal era 1998, Syed Ibrahim tidak begitu aktif sebagai pelaku politik kerana masih bersama Jamaah Islah Malaysia (JIM) sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang membawa semangat perubahan dalam masyarakat madani ketika itu.

Baca juga: