Lembah Klang Raya menuju lima metropolis utama di Asia – Amirudin

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Selangor kini melangkah ke era baru melalui usaha penyeragaman empat bandar utama iaitu Klang, Petaling Jaya, Shah Alam dan Subang Jaya di bawah inisiatif Lembah Klang Raya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata bahawa langkah itu akan memperkukuh status Lembah Klang sebagai salah satu metropolis utama di Asia Tenggara, yang dianggotai oleh lebih sejuta penduduk.

“Projek ini bukan sekadar untuk meningkatkan daya saing bandaraya-bandaraya ini, tetapi juga memastikan kepakaran, sumber dan kewangan diselaraskan agar tiada pertindihan dalam pelaksanaan.

“Ini akan memudahkan urusan rakyat serta memperkemas pelaksanaan undang-undang,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Selasa.

Mesyuarat Jawatankuasa Penyeragaman telah dibentuk di bawah Jawatankuasa Induk Majlis Pembangunan Lembah Klang Raya, dengan tujuan untuk menyatukan pelbagai aspek pentadbiran dan pembangunan bagi memastikan pembangunan berjalan lancar.

Projek tersebut telah diumumkan dalam Belanjawan 2024, dengan peruntukan RM2 juta bagi menggabungkan keempat-empat bandar berkenaan.

Amirudin juga menekankan potensi besar Lembah Klang Raya untuk menjadi gagasan ekonomi utama Asia Tenggara, selaras dengan perkembangan pesat sektor perniagaan, perdagangan, dan teknologi tinggi di kawasan itu.

“Lembah Klang Raya berpotensi tersenarai antara lima metropolis utama di Asia. Ini adalah pencapaian yang mampu meningkatkan kemakmuran negeri serta memberi manfaat besar kepada rakyat Selangor,” tambahnya.

Dengan penyeragaman itu, Lembah Klang Raya bakal muncul sebagai pusat pentadbiran dan perindustrian yang lebih efisien, menarik lebih banyak pelaburan serta peluang pekerjaan kepada penduduknya.