Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Tani (IPR-Intan) menawarkan pulangan gaji pokok yang lumayan iaitu sebanyak RM2,000 sebulan kepada peserta.
Peserta IPR-Intan, Narendran S.Kiniseng berkata, keputusan untuk turut serta dalam program IPR-Intan ini sebuah keputusan yang amat berbaloi.
Jelas Narendran, dirinya bekerja sebagai pekerja kontrak sebelum menjadi salah seorang peserta program tersebut.
“Saya tengok iklan di Facebook tentang program ni, waktu tu memang tak ada kerja jadi tengok basic pun RM2,000 itu yang terus join.
“Sebelum ni kerja kontrak gaji RM1,200 sebulan, kalau kontrak habis memang tak ada kerja, saya duduk rumah sahaja,” katanya menerusi sebuah video di Tiktok Rafizi Ramli.
Dalam pada itu, anak bongsu daripada 10 adik beradik itu berkongsi bahawa dirinya tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang petani dan merasakan kerja itu sangat susah.
“Pada awal tak terfikir nak jadi petani, tapi bila join program terus rasa nak jadi petani.
“Dulu kerja awal-awal susah sikit, tapi lama-lama senang dan dapat banyak hasil, macam hasil tuaian musim pertama dapat 10 tan. Kalau hasil ada lebih, dapat bonus lagi,” katanya.
Sebelum ini Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, program IPR-Intan akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan terlibat dalam industri pertanian moden itu.
Rafizi berkata, lima ladang dibuka di bawah projek IPR-Intan NCER akan mengeluarkan lebih 2,100 tan hasil tanaman cili, jagung dan terung dengan nilai pasaran lebih RM29 juta.