KLUANG: Seramai 4,510 anggota tentera dan pasangan serta 401 anggota polis akan melaksana tanggungjawab sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota hari ini.
Bagi tujuan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka tiga pusat mengundi awal yang akan dibuka dari 8 pagi dan ditutup pada 5 petang.
Tiga pusat mengundi itu adalah di Dewan Mahkota yang terletak dalam Kem Mahkota, Dewan Pengaman Zamrud Taman Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sir Ibrahim.
DUN Mahkota yang terletak dalam Parlimen Kluang mempunyai keseluruhan 66,318 pengundi.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.
Ia menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca baik pagi ini di bandar Kluang namun ribut petir dijangka melanda pada sebelah petang.
Sementara itu Barisan Nasional (BN) yakin undi awal akan memihak kepada calon BN.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini kerana calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah memiliki ciri-ciri boleh menang.