Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO Johor, Azleen Ambros, mendakwa surat layang yang diterima pengundi Cina baru-baru ini adalah taktik pembangkang yang cuba memecahbelahkan muafakat Bangsa Johor.
Beliau berkata, surat layang yang tular itu merupakan naratif pembangkang yang dilihat terdesak menjatuhkan pihak lawan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) di Mahkota.
“Tatkala kita di pihak Barisan Nasional (BN) sedang sibuk mempromosikan segala usaha baik kita bagi menjayakan agenda masa depan Johor dan Mahkota, mereka secara terdesak menggunakan kaedah surat layang untuk memecahbelahkan muafakat bangsa Johor.
“Dapat dijangka itu sebagai taktik kotor pihak lawan kerana naratif surat layang berkaitan memang naratif yang dibawa mereka,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Selasa.
Justeru, beliau menyeru pengundi di Mahkota untuk menolak surat tersebut demi memperkukuhkan agenda perpaduan bangsa Johor.
“Dalam usaha pecah belah yang dibawa oleh PN, ini saya menyeru pengundi di Mahkota untuk tolak bulat-bulat.
“Bersama BN, kita perkukuhkan muafakat Bangsa Johor dan sama-sama kita jayakan agenda perpaduan bersama,” ujarnya.
Pada 21 September lepas, Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi (DAP) mendakwa ada pihak memasukkan surat layang ke dalam peti surat bagi meminta pengundi Cina menolak calon UMNO iaitu Syed Hussien Syed Abdullah.
Wong mendakwa surat itu ditulis dalam Bahasa Cina dan bertajuk ‘Seruan kepada pengundi dalam PRK Mahkota: Kami harap untuk melihat layanan adil untuk semua rakyat di Johor.