PETALING JAYA: Hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Global Ikhwan Services and Business Sdn Bhd (GISBH) mendapati kaedah perniagaan ialah Aurad Muhammadiah versi sendiri.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, mereka sangat taksub dan mendewakan pemimpin sehingga memutarbelitkan ajaran Islam sebenar.
“Proses ini mirip seperti proses indoktrinisasi yang menjadi nilai kehidupan dipercayai dan dianuti sepenuh hati oleh pengikutnya.
“Doktrin ini sangat berbahaya kepada keselamatan negara khususnya ajaran agama Islam di negara ini dan kebajikan serta masa depan pengikutnya yang bergantung sepenuhnya kepada pemimpin mereka sahaja.
Razarudin turut memberitahu Polis telah memperolehi lanjutan reman bagi siasatan terhadap ahli GISBH berkait Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan migran (ATIPSOM) 2007 selama empat hari sehingga 29 September ini.
“Ia melibatkan 24 ahli GISBH termasuk individu yang memegang jawatan tertinggi dalam GISBH.
“Sebanyak 34 tahanan yang telah selesai menjalani tempoh reman akan ditangkap semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 (SOSMA).
“Manakala seramai 127 orang tahanan dibebaskan dengan jaminan setelah selesai tempoh reman,” katanya.
Dalam kenyataan berlainan, hasil siasatan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapati GISBH tidak pernah membayar cukai berkaitan.