RM120,000 Disalurkan kepada Komuniti Bandar Tun Razak

Oleh: Syahirah Harish

KUALA LUMPUR: Program Malam Cinta Rasul yang berlangsung di Tapak Urban Dining Street @ Stadium KL pada Khamis diserikan dengan acara kebajikan, di mana sumbangan RM120,000 disalurkan kepada komuniti setempat.

Program yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, turut dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal seperti UNIC, Raihan,Qasidah Ar-Rayyan, Fikry Ibrahim, Faisal Ismail, dan Alif Satar and The Locos.

Dalam ucapan, Wan Azizah menekankan bahawa setiap umat Islam perlu sentiasa mengingati dan menyemarakkan cinta kepada Nabi Muhammad SAW bukan hanya pada malam tertentu tetapi sepanjang masa.

“Perwatakan kita sebagai Muslim adalah cermin kepada mereka yang melihat Islam sebagai agama yang indah dan sesuai diamalkan bersama,” katanya.

Wan Azizah memaklumkan, Program Ziarah Kasih MADANI telah dijalankan dengan diwakili Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Kamil Munim pada Khamis.

“Dengan sumbangan berjumlah RM30,000 yang disalurkan kepada 30 buah rumah yang memerlukan.

“Ini merupakan inisiatif berterusan bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik di sekitar kawasan Parlimen Bandar Tun Razak,” katanya.

Selain itu, sebanyak RM40,000 telah diperuntukkan kepada golongan ibu tunggal melalui program yang sama, di mana bantuan itu bertujuan meringankan beban kehidupan seharian mereka serta memberikan sokongan moral dan kewangan.

Dalam usaha menyokong pembangunan institusi masjid, sumbangan RM50,000 disalurkan kepada masjid-masjid di Bandar Tun Razak, di mana setiap masjid menerima RM5,000.

Sumbangan ini diharap dapat memperkasa peranan masjid sebagai pusat komuniti dan rohani.

Wan Azizah turut merakamkan penghargaan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) atas bantuan kewangan yang disalurkan dan menjadi tunjang kepada pelaksanaan program kebajikan.

Acara malam tersebut bukan sahaja menyemarakkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW, tetapi juga mengeratkan hubungan komuniti melalui inisiatif-inisiatif kebajikan yang dilaksanakan.

Program ini diakhiri dengan doa agar Allah SWT menetapkan umat Islam dalam iman serta melindungi mereka dari sebarang dugaan dan cabaran hidup.