Seiring kemajuan Pelabuhan Klang, Pekerja Perlu Ditawar Gaji Setimpal – PM

Oleh: Syahirah Harish

KLANG: Hasil kemajuan dan kejayaan Pelabuhan Klang sehingga menjadikannya sebagai salah satu pelabuhan tersibuk di dunia adalah hasil dedikasi dan produktiviti semua pihak terutamanya kakitangan di Westports (Pelabuhan Barat).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan betapa pentingnya menjaga kebajikan pekerja yang telah banyak menyumbang kepada kemajuan pelabuhan itu.

Beliau mengiktiraf pekerja sebagai nadi dan tonggak kepada kekuatan sesebuah organisasi bagi memastikan operasi pelabuhan berjalan lancar.

“Memandangkan kemampuan kewangan syarikat, saya percaya bahawa kejayaan ini harus diiringi dengan kadar upah yang lebih setimpal demi kebajikan dan kesejahteraan pekerja,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Westports 2 di Pelabuhan Klang, hari ini.

Dengan pelancaran projek Westports 2, Pelabuhan Klang dijangka akan terus memainkan peranan penting di peringkat global, sambil memastikan kebajikan pekerja terus menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan negara.

Menurutnya, projek berkenaan menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab logistik utama di rantau ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri Selangor akan terus memberi fokus kepada penambahbaikan ekosistem, infrastruktur, dan prasarana pelabuhan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Pecah Tanah Westports 2 di Port Klang, Selangor pada 27 September 2024. – AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri

Ini termasuk usaha untuk meningkatkan produktiviti pelabuhan dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara yang pesat.

Tambah beliau, pelabuhan memainkan peranan kritikal sebagai salah satu pintu masuk utama negara dan komponen penting dalam memastikan ekonomi negara terus berkembang.

“Saya mengesa pemain industri supaya terus bekerja dan tidak terlalu selesa dengan kejayaan semasa, justeru perlu senantiasa berusaha untuk meningkatkan kemajuan Malaysia sebagai hab utama di rantau ini,” katanya.