Banjir Kedah: Operasi SAR Dua Beranak Hanyut Diteruskan

Oleh: Hanim Nadia

PADANG TERAP: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua beranak yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan air deras di Kampung Tanjung Kanan, Kuala Nerang awal pagi tadi masih diteruskan walaupun sudah melebihi lima jam setakat ini.

Dua beranak itu ialah Muhammad Rosman Rohadi, 19, yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam serta ibunya, Salmah Mat Zain, 46.

Menurut laporan Bomba Kuala Nerang, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 8.32 pagi.

Katanya, usaha mencari mangsa masih diteruskan dengan kekuatan logistik satu bot aluminium 12 inci.

Operasi SAR itu melibatkan pelbagai agensi termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) Padang Terap serta penduduk kampung.

Menurut video yang tular, penduduk kampung difahamkan sudah berteriak memanggil dua beranak itu supaya tidak meredah banjir berikutan arus sungai terlalu deras namun mereka berdua tetap meneruskan perjalanan.

Lapor media tempatan, hasil maklumat orang ramai, sebelum kejadian berlaku, dua beranak itu dipercayai pulang daripada membeli nasi lemak dan menunggang motosikal menggunakan laluan sejauh lebih tiga kilometer (km) kerana jalan utama ke rumah dinaiki air.

Mereka kemudian meletakkan motosikal ditunggang di rumah seorang penduduk sebelum meredah air di laluan bertar yang ditenggelami air sehingga paras dada untuk pulang ke rumah.

Hal ini berikutan laluan yang digunakan oleh dua beranak berkenaan dikatakan lebih dekat jaraknya iaitu kira-kira satu kilometer (km) daripada rumah mereka duduki.

Anda Mungkin Berminat