Tolak tawaran Zamsaham, GSK sedia beli Kelantan RM1 termasuk beban hutang RM5 juta

Oleh: Haikal Tajuddin

KUALA LUMPUR: Gerakan Selamatkan Kelantan (GSK) sebulat suara menyatakan hasrat untuk mengambil alih ‘The Red Warriors’ (TRW) Kelantan FC dengan harga RM1 bersama tanggungan hutang RM5 juta setelah menolak tawaran dari Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham.

Pengerusi GSK, Nik Hafiz Naim Nik Hassan berkata, tawaran yang diberikan oleh pihak Zamsaham kepada pasukan TRW Kelantan FC itu dilihat tidak masuk akal sama sekali.

“Mengenai tawaran Zamsaham menawarkan TWR Kelantan FC dengan harga RM1 dengan syarat pasukan tersebut mestilah ‘top five’ dalam masa lima tahun adalah tidak realistik sama sekali.

“Hal ini kerana, pasukan itu baru sahaja dibina dan perlu mengambil masa untuk mencari rentak dan persefahaman antara pemain,” jelasnya.

Disebabkan perkara tersebut, GSK telah menolak tawaran Zamsaham untuk menjual TWR Kelantan FC sebanyak RM3 juta sedangkan kini pasukan tersebut juga sudahpun memiliki hutang yang besar iaitu RM5 juta.

“Kini, TRW Kelantan FC tidak mempunyai apa-apa nilai sekarang ini disebabkan kelab tidak bermain di mana-mana liga dan tidak mempunyai apa-apa aset.

“Oleh itu, saya memohon kepada Zamsaham agar berjiwa besar menyerahkan TRW Kelantan FC kepada kami supaya dapat membina semula dan memulihkan kembali kelab ini,” katanya.