Banjir Kedah: Mayat ibu akhirnya ditemukan

PADANG TERAP: Mayat Salmah Mat Zain yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir kilat di Kampung Tanjung Kanan sejak semalam ditemui pagi tadi.

Bomba Kuala Nerang dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa kedua (Salmah, 46) telah dijumpai berdekatan mangsa pertama dijumpai semalam.

“Mayat beliau ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 7.45 pagi.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam operasi SAR Mangsa Lemas Kg Tanjung Kanan Padang Sanai. Jasa kalian hanya Allah yang mampu membalasnya,” kata kenyataan tersebut pada Ahad.

Terdahulu, mayat anaknya, Muhammad Rosman Rohadi, 19 tahun, ditemui pada pukul 5.35 petang semalam.

Dalam kejadian pagi semalam, Salmah dan anaknya dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan air deras akibat banjir di Kampung Tanjung Kiri, Jalan Padang Sanai.