Sabari dibunuh, mayat dicampak ke sungai

Oleh: Hanim Nadia

JITRA: Misteri kehilangan pesara Felcra, Sabari Baharom, 62, di Baling akhirnya terungkai apabila polis memberkas dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat membunuh mangsa.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kedua-dua suspek berusia 26 dan 38 tahun itu ditahan pada Jumaat lalu.

“Ekoran perkembangan kes orang hilang, Polis Kedah berjaya mengesan dan memberkas dua suspek lelaki yang disyaki dapat membantu siasatan kes tersebut.

“Sabari dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Derang di Kubang Pasu dalam keadaan tangan diikat dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat.

“Hasil soal siasat dijalankan, pengakuan telah dibuat oleh kedua-dua suspek bahawa mangsa telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap. Sehingga kini mangsa masih gagal dijumpai dan usaha mencari masih dilakukan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Susulan itu, Fisol berkata, siasatan yang dilakukan melibatkan kes orang hilang melibatkan mangsa kini dilanjutkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, polis juga telah memaklumkan perkembangan siasatan kepada keluarga mangsa.

“Semua pihak dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan menghormati serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

“Sebaliknya orang ramai diminta untuk membantu dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian kepada pihak polis,” katanya.

Terdahulu, Sabari yang juga bekas pegawai kewangan Felcra didapati hilang sejak 4 September lalu dan gagal dikesan sehingga kini.

Kehilangan itu dianggap misteri oleh ahli keluarganya kerana kereta Proton Waja milik mangsa ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik, Jumaat lalu namun mangsa tiada.

Anda Mungkin Berminat