MAINJ tubuh jawatankuasa pulih akidah pengikut GISBH

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Permurniaan Pengikut-Pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, peranan penubuhan jawatankuasa itu adalah bagi merangka gerak kerja pemulihan akidah mereka yang terlibat dengan GISBH di negeri Johor.

Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, penubuhan itu juga bertujuan menyelaras pendidikan persekolahan, penempatan dan bantuan yang boleh disalurkan kepada anak-anak pengikut GISBH.

“Pelaksanaan Operasi Bersepadu iaitu Op Global telah dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 20 dan 21 September 2024.

“Operasi tersebut melibatkan lapan premis daripada 43 buah premis milik GISBH di lima daerah iaitu Johor Bahru, Kluang, Segamat, Kota Tinggi dan Mersing.

“Hasil operasi tersebut, seramai 29 individu telah ditahan dan 30 kanak-kanak remaja diselamatkan selain 20 buku dan risalah dijumpai amat mencurigakan yang berkaitan dengan Aurah Muhammadiah,” katanya.

Beliau berkata, pihak MAINJ turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada JKM bagi keperluan pakaian dan buku pelajaran buat kanak-kanak dan remaja yang ditempatkan di bawah jagaan JKM.

“29 indvidu yang ditahan reman dan lapan daripadanya ditangkap semula kerana disyaki memiliki warta haram (Aurah Muhammadiah).

“Memiliki atau menyimpan risalah yang telah diwartakan haram adalah merupakan satu kesalahan dibawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 Seksyen 9, Mengingkari Pihak Berkuasa dan Seksyen 13, penerbitan bersalahan hukum syarak,” jelasnya.

Justeru itu, MAINJ akan terus menggunakan kekuatan enakmen sedia ada dan sentiasa bekerjasama dengan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk meneliti, mengkaji dan membuat sebarang ketetapan berkaitan status GISBH.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat