PARTI Amanah Negara (AMANAH) Negeri Kedah mendesak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MADA Corp, Abdullah Ismail meletakkan jawatan berkuat kuasa serta merta.
Timbalan Pengerusi AMANAH Kedah, Johati Abdullah berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa mereka.
“… berhubung dengan insiden yang tular di media sosial berkaitan tindakan tidak beradab menolak bersalaman dengan YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“AMANAH Negeri Kedah, berpandangan tindakan CEO MADA Corp sebagai tidak beradab dan beretika serta gagal menghormati seorang pemimpin dan Menteri yang bertanggungjawab terhadap syarikat MADA Corp, sebuah anak syarikat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) iaitu sebuah agensi yang berada di bawah KPKM,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
“AMANAH Negeri Kedah berpendapat desakan peletakan jawatan tersebut adalah wajar demi mengharmonikan keadaan, di samping memulihkan imej anak syarikat MADA berkenaan.
“AMANAH Negeri Kedah akan terus memantau perkembangan isu ini dan berharap dengan peletakan jawatan tersebut sebagai jalan penyelesaian terbaik, demi kepentingan rakyat dan pembangunan pertanian negeri Kedah khususnya para petani,” katanya.
Sebelum ini tindakan Abdullah mendapat kecaman kerana tidak menyambut tangan Mohamad Sabu dalam satu majlis.
Bagaimanapun beliau telah membuat permohonan maaf secara terbuka kerana mendakwa telah bersalaman buat kali pertama dan terkejut buat kali kedua.