SHAH ALAM: Pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) segera mengaktifkan tindakan mitigasi setelah mengesan pencemaran minyak di Sungai Gong Isnin lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, tindakan awal diambil bagi mengelakkan gangguan besar terhadap operasi Loji Rawatan Air (LRA) utama Negeri Selangor.
Menurut kenyataan EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin, LUAS mengesan kesan bau minyak yang mencapai satu ton pada pukul 9.50 pagi tadi.
Jelasnya, tindakan siasatan menyeluruh dijalankan mengikut Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor.
“Langkah pencegahan segera diaktifkan untuk mengelakkan aliran minyak tercemar memasuki kawasan sungai dan longkang.
“Empat unit ‘oil boom’ dan 22 keping ‘oil pad’ telah dipasang di sepanjang kawasan yang terjejas.
“Pemasangan ini bertujuan untuk menahan minyak daripada terus masuk ke dalam Sungai Gong. LUAS turut mengarahkan penempatan pasir di kawasan premis yang terlibat bagi meningkatkan keberkesanan kawalan,” katanya.
Jamaliah juga memaklumkan kerja-kerja pemulihan melibatkan 10,000 liter minyak dibersih menggunakan lori tangki dengan kapasiti 13,000 liter. Proses berjalan pantas bagi memastikan tiada gangguan bekalan air kepada pengguna di Negeri Selangor.
Dalam pada itu, LUAS turut memantau kekerapan minyak dengan frekuensi setiap 30 minit di lokasi terjejas. Aliran minyak dipercayai berpunca daripada kebocoran tangki di kawasan kilang Industri Rawang Integrated.
“Tindakan susulan telah diambil bagi memastikan kerosakan tangki tersebut tidak menjejaskan kawasan sungai yang lebih luas.
“Sampel daripada kesemua lokasi telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis, manakala siasatan lanjut di bawah Seksyen 79(1) Enakmen LUAS 1999 sedang berjalan untuk tindakan penguatkuasaan ke atas pihak bertanggungjawab,” jelasnya lagi.
Pihak Kerajaan Negeri Selangor menegaskan komitmen untuk tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap kecuaian mana-mana pihak yang menyebabkan pencemaran sumber air.