PAS tidak mahu dibayangi kepimpinan Hamzah- Dr Faiz

PETALING JAYA: Persoalan siapa yang akan mendominasi Perikatan Nasional (PN) terus menjadi rebutan antara pemimpin PAS dan juga Bersatu.

Pemilihan Bersatu pada Sabtu ini dilihat sebagai tanda aras dan hala tuju PN terutama dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Menurut bekas Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman sekiranya Datuk Seri Hamzah Zainuddin terpilih sebagai timbalan presiden Bersatu, beliau akan dilihat lebih dominan dalam kalangan ahli Bersatu.

Dan situasi ini akan menyebabkan ruang tidak selesa dikalangan pimpinan Pas.

“… walaupun Hamzah dilihat lebih dominan dalam kalangan ahli parti Bersatu, beliau masih perlu berhadapan dengan cabaran mengekalkan hubungan dengan Parti Pas, yang kini semakin menonjolkan pemimpin mereka sendiri sebagai calon Perdana Menteri.

“PAS pada masa yang sama, dilihat enggan berada di bawah bayangan kepimpinan mana-mana pemimpin dalam parti Bersatu untuk mengemudi Perikatan Nasional (PN),” dakwanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Khamis.

Dakwa Dr Faiz lagi, pihak Hamzah pula masih cuba nak mengekalkan hubungan baik dia dengan PAS.

“… tetapi dalam masa yang sama, PAS pun tidak mahu dibayangi kepimpinan Hamzah sebab mereka cuba mengetengahkan tokoh mereka, sebagai bakal perdana menteri, MB Terengganu,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Tambahnya, walaupun Hamzah cuba mengetengahkan dirinya sebagai pemimpin utama PN, Pas dilihat lebih selesa dengan pengaruh mereka sendiri.

“PAS bukannya menganggap Muhyiddin sebagai pengemudi Perikatan Nasional, apatah lagi Hamzah.

“Sebab itu PAS mengundang Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai penasihat kepada SG4, ini memperkukuh pandangan bahawa Pas tidak sepenuhnya selari dengan Bersatu dalam gabungan tersebut,” katanya.