Nelayan Ditahan Tangkap Siput Retak Seribu

Oleh: Shafira Aziz

KUALA PERLIS: Enam nelayan tempatan ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kuala Perlis disyaki menjalankan aktiviti menangkap siput retak seribu secara haram di perairan Kuala Sanglang, di sini pada pukul 1.30 pagi semalam. 

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, walaupun rondaan kerap dilakukan, terdapat juga pihak yang masih berani melanggar undang-undang untuk meraih keuntungan. 

“Mereka sanggup bekerja dalam keadaan bergelap untuk mengelak dikesan. 

“Namun, kami sentiasa berwaspada dan bertindak pantas berdasarkan aduan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin. 

Penahanan tersebut dibuat susulan beberapa laporan awam mengenai aktiviti haram di kawasan perairan itu.

Semasa rondaan di bawah Op Aman, bot Maritim Malaysia menemui sebuah bot nelayan yang mencurigakan dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati tekong bersama dua awak-awak warga tempatan sedang menangkap siput retak seribu dan bronok tanpa kebenaran.

Bot tersebut yang berpangkalan di Kuala Sala, didapati melanggar Akta Perikanan 1985 di bawah Seksyen 8(b) kerana melanggar syarat lesen, serta Seksyen 11(3)(c) kerana memasang peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Semua hasil rampasan dan tangkapan, dianggarkan bernilai lebih RM50,000, telah dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis untuk siasatan lanjut.

Komander Mohd Hashim mengingatkan bahawa Maritim Malaysia akan terus meningkatkan rondaan di perairan negara. 

“Kami sentiasa memantau dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti haram. Kerjasama orang ramai sangat kami hargai dalam usaha memastikan perairan negara kekal selamat,” tegasnya.