Prestasi Kewangan Malaysia 2023: Lebihan Hasil Meningkat, Liabiliti Bertambah

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Prestasi kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2023 menunjukkan peningkatan ketara dengan lebihan hasil melonjak sebanyak RM2.028 bilion dan defisit menurun RM8.595 bilion.

Ini menjadikan nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkurang kepada 5.0 peratus berbanding 5.5 peratus pada tahun 2022.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini juga menunjukkan bahawa baki defisit Kumpulan Wang Pembangunan telah berkurang sebanyak 14.5 peratus daripada RM11.951 bilion pada 2022 kepada RM10.217 bilion pada 2023.

Walaupun terdapat prestasi positif, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi memberi peringatan berhubung peningkatan Liabiliti Persekutuan.

“Liabiliti Persekutuan meningkat sebanyak RM92.038 bilion atau 6.6 peratus kepada RM1.492 trilion berbanding RM1.400 trilion pada tahun 2022,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya, jaminan kerajaan kepada 13 syarikat juga bertambah RM3.288 bilion atau 1.5 peratus daripada tahun sebelumnya.

Terdapat penurunan ketara dalam dividen yang diterima kerajaan, daripada RM55.815 bilion pada 2022 kepada RM46.059 bilion pada 2023, menurun sebanyak 17.5 peratus. Ini menekankan keperluan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman baru melalui pengurusan kewangan yang lebih cekap.

Wan Suraya turut menyarankan agar Kerajaan Persekutuan memperkukuh kutipan hasil dan memastikan perbelanjaan bersasar dan mempunyai nilai untuk wang (value for money) bagi mengurangkan defisit fiskal.

Prestasi pelaksanaan projek pembangunan di bawah Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) mencatatkan sebanyak 41.1 peratus daripada 8,279 projek sedang dalam pelaksanaan sehingga 31 Disember 2023, manakala 1.3 peratus projek dibatalkan atau ditangguhkan.