Lebih 94 peratus kanak-kanak GISBH akui punyai ibu bapa kandung

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan bahawa 94.3 peratus daripada kanak-kanak di bawah naungan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) mengakui masih mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa kandung.

Sehubungan dengan itu, Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementeriannya akan mengambil tindakan untuk mengembalikan kanak-kanak tersebut ke pangkuan ibu bapa dan keluarga mereka untuk memastikan hak penjagaan yang betul dan memulihkan keyakinan mereka.

“Bagi kes ini, ia jelas membuktikan keupayaan ibu bapa dan keluarga adalah salah satu proses penyatuan semula yang perlu disegerakan.

“Oleh itu, saya akan memberi keutamaan untuk mengembalikan mereka kepada ibu bapa dan keluarga. Manakala, bagi kes yang rumit, kami akan sentiasa menjalankan program intervensi kepada kanak-kanak dan keluarga bagi memastikan kepentingan mereka sentiasa terjaga,” jelas Nancy Shukri.

Dalam tinjauan yang sama, seramai 51.6 peratus daripada kanak-kanak yang terlibat dengan GISBH turut berada di bawah paras normal Indeks Jisim Badan (BMI).

Kini, jumlah kanak-kanak yang berada di bawah kebajikan tersebut adalah seramai 560 orang. Namun begitu, daripada jumlah tersebut, seramai 51.6 peratus memiliki paras yang tidak normal.

“Menerusi tinjauan fizikal yang dibuat, 46.1 peratus kanak-kanak hanya mencatatkan paras normal dan bagi paras berat badan yang dikategorikan sebagai obesiti pula sebanyak 2.7 peratus,” tambah beliau.

Selain itu, tiga orang daripada mereka turut mempunyai kad Orang Kurang Upaya (OKU), manakala 27 orang daripada kanak-kanak tersebut mempunyai simptom OKU.

Lee Zii Jia tetap unggul dalam senarai pemain badminton dunia – Malaysia Bangkit