Belanjawan MADANI 2025 Siap Sepenuhnya, Sedia Dibentang Esok

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan bahawa Belanjawan MADANI Ketiga 2025 telah siap sepenuhnya dan bersedia untuk dibentangkan di Dewan Rakyat esok.

Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar meluahkan rasa syukur dan memuji kesiapsiagaan Pasukan Belanjawan serta warga Kementerian Kewangan yang menunjukkan komitmen tinggi menjelang pembentangan belanjawan tersebut.

“Alhamdulillah, pada detik-detik terakhir pembentangan Belanjawan MADANI Ketiga 2025 esok, kesiapsiagaan Pasukan Belanjawan dan warga Kementerian Kewangan tampak begitu rapi sewaktu saya membuat tinjauan di pejabat Kementerian Kewangan pagi ini,” katanya.

Anwar turut berkongsi keterujaannya melihat semangat dan kesungguhan Pasukan Belanjawan yang sibuk merangka belanjawan yang terangkum dan penuh teliti.

Perdana Menteri juga mengambil kesempatan bergambar bersama pasukan tersebut dan menandatangani dokumen-dokumen penting berkaitan Belanjawan 2025.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha merangka belanjawan ini, termasuk warga Kerajaan yang telah memberikan cadangan bernas dan bekerja keras untuk menjayakan proses ini.

“Insya-Allah, Belanjawan ini akan memacu lagi pertumbuhan ekonomi dan memberi keadilan kepada rakyat terbanyak,” tambahnya.

Untuk info, Belanjawan MADANI 2025 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada pukul 4 petang esok.

Baca juga: