Prestasi Malaysia tarik pelaburan asing dipuji media Thailand

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Pentadbiran Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima pujian daripada media Thailand.

Ia berikutan kejayaan Malaysia menarik pelaburan besar daripada syarikat-syarikat teknologi gergasi dunia. 

Media Thailand mengakui bahawa Malaysia muncul sebagai pesaing yang hebat dalam usaha menarik pelaburan asing, khususnya dalam sektor pusat data dan teknologi awan.

Dalam laporan tersebut, media Thailand (TNN 16) menyatakan bahawa syarikat seperti Amazon Web Services (AWS), Google dan Microsoft telah membuat pelaburan yang jauh lebih tinggi di Malaysia berbanding Thailand. 

“Jika kita hanya melihat wang yang diumumkan oleh syarikat teknologi besar untuk melabur pusat data, kita dapat melihat syarikat itu jelas melabur lebih banyak wang di Malaysia,” kata laporan tersebut.

Setakat ini, Malaysia berjaya menarik pelaburan bernilai sekitar AS$14 bilion (RM60 bilion), manakala Thailand hanya mencatatkan pelaburan sebanyak AS$6 bilion (RM25 bilion). 

Google, khususnya, mengumumkan pelaburan terbesar dalam tempoh 13 tahun dengan peruntukan sebanyak AS$2 bilion (RM8 bilion) bagi mewujudkan pusat data dan ‘cloud region’ di Malaysia. 

Pelaburan tersebut bukan sahaja menyokong pembangunan kecerdasan buatan (AI) tetapi juga dijangka merangsang ekonomi Malaysia dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tambahan bernilai AS$2 bilion (RM8 bilion) menjelang 2030.

Dalam perbandingan, pelaburan Google di Thailand hanya bernilai sekitar AS$1 bilion (RM4.3 bilion), satu jumlah yang jauh lebih rendah daripada apa yang diperuntukkan di Malaysia. 

“Kami di Thailand masih dianggap kurang berbanding Malaysia,” tambah laporan itu. 

Keupayaan Malaysia menarik pelaburan berkualiti ini juga seiring dengan pendekatan Kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekonomi negara.

Anda Mungkin Berminat