MTUC harap Belanjawan 2025 utama kebajikan pekerja

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berharap Belanjawan 2025 yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok (Jumaat) akan membawa sinar harapan kepada lebih 16 juta pekerja di Malaysia.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor, menekankan bahawa bajet ini perlu memberi tumpuan kepada kebajikan pekerja serta memastikan peningkatan pendapatan dan simpanan pekerja bagi menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Pengumuman pelarasan gaji sektor awam sebanyak 15 peratus adalah bukti bahawa kerajaan prihatin terhadap cabaran yang dihadapi pekerja,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kamarul turut menyokong cadangan Anwar agar sektor swasta menetapkan gaji minimum RM3,000 selaras dengan amalan Khazanah.

“Ia adalah langkah munasabah untuk mengharungi keadaan ekonomi semasa dan memastikan pekerja menerima gaji yang bermaruah,” tambahnya.

Beliau juga menegaskan pentingnya faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) diperluaskan, termasuk perlindungan pekerja 24 jam dan bantuan kesihatan bagi penyakit kritikal seperti jantung dan strok selepas bersara.

Selain itu, MTUC mencadangkan agar kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dinaikkan melalui tambahan sumbangan majikan bagi menjamin simpanan yang lebih stabil bagi hari tua.

MTUC turut menggesa kerajaan memberi perhatian kepada sektor ekonomi gig dan memperbaharui ekosistem bagi melindungi penggiat industri ini.

“Pengiktirafan kesatuan pekerja sebagai mekanisme penting dalam menjaga kepentingan pekerja dan syarikat juga perlu disokong melalui pelepasan cukai dan geran kepada syarikat yang menyokong kesatuan,” jelasnya.

Beliau berharap Belanjawan 2025 bukan sekadar janji kosong, tetapi satu langkah proaktif untuk memperbaiki kehidupan pekerja di seluruh negara, sejajar dengan komitmen Anwar terhadap kebajikan pekerja.