RUU Mufti: Jaga Tutur Kata Walau Berbeza Pandangan

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Profesor Madya Dr Luqman Abdullah menasihati semua pihak agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan dakwaan yang tidak berasaskan fakta mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah-wilayah Persekutuan 2024.

Ini kerana, jelasnya, terdapat sesetengah pihak yang membuat dakwaan berbentuk melulu dan tidak berasas sehingga melanggar batas etika dan adab dalam membahaskan isu ini termasuk terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

“Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) menyatakan rasa dukacita atas polemik yang timbul ekoran penggubalan RUU ini.

“JMWP menyeru semua pihak agar berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan dakwaan yang tidak berasaskan fakta sebenar khususnya kenyataan yang dilihat dengan sengaja cuba merendahkan kehormatan terhadap Menteri Agama dan institusi pentadbiran Islam di Malaysia.

“Oleh itu, umat Islam dinasihatkan agar menjaga tutur kata dan mempamerkan akhlak serta adab yang baik terutama dalam perkara yang melibatkan perbezaan pandangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengkritik keras Menteri Agama berkaitan RUU tersebut.

Asri berkata, kebanyakan besar umat Islam tidak faham berkaitan ajaran Ashairah dan Maturidiyyah yang ingin dijadikan sebagai identiti Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ).

Malah, dia mendakwa, Na’im sendiri belum tentu faham berkaitan perkara itu.

Mengulas mengenai ASWJ, Dr Luqman berkata, Malaysia merupakan sebuah negara majoriti umat Islam yang berpegang dengan pegangan aliran ASWJ yang mula bertapak dan telah dipegang oleh masyarakat Islam sedunia khususnya di Alam Melayu sejak zaman zaman dahulu sehingga hari ini.

Justeru, pegangan ASWJ diyakini membawa keharmonian dan kesatuan ummah dalam beragama dari sudut memberi pengukuhan kefahaman Islam, kesepaduan ilmu, membentuk jati diri Islam, kesepakatan fikrah, keselarasan dalam pengamalan agama dan keilmuan para ulama dan masyarakat di rantau ini.

“Oleh itu, Penggubalan RUU Mufti 2024 adalah satu usaha murni yang selaras dengan dasar kerajaan MADANI yang menekankan kemajuan dan ketamadunan dalam masyarakat berdasarkan ilmu pengetahuan dan khazanah tradisi Islam,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Dr Luqman menjelaskan, RUU Mufti digubal bertujuan untuk memartabat dan memperkukuh peranan dan fungsi institusi mufti dalam pembangunan hukum syarak ke arah meningkatkan keberkesanan tadbir urus pentadbiran Islam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

“Penggubalan RUU Mufti bukanlah satu bentuk eksklusif dalam beragama dan bersifat sektarian sepertimana didakwa oleh sebahagian pihak hingga boleh memecahkan keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat.

“Hakikatnya, ia adalah satu bentuk usaha pemerkasaan suatu manhaj yang jelas dan berstruktur.

“Hal ini penting bagi mempersiapkan umat Islam dalam mengharungi era globalisasi yang semakin terdedah kepada aliran ajaran sesat yang pelbagai dan kekeliruan dalam penghayatan Islam,” ujarnya.

Baca juga: