Oleh: Shafira Aziz
PARLIMEN | Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan komitmen kerajaan untuk memperkukuh industri padi melalui Projek Penanaman Padi 5 Musim 2 Tahun di kawasan MADA Fasa 1, dengan peruntukan hampir RM1 bilion.
Projek tersebut merangkumi keluasan hampir 11,000 hektar dan dijangka meningkatkan hasil padi sebanyak 15 peratus serta melonjakkan pendapatan 6,100 pesawah sebanyak 43 peratus.
Kerajaan turut memandang kepada kejayaan pengurusan padi di Sekinchan, Sabak Bernam, yang mencatat hasil padi 12 tan sehektar, sebagai rujukan dalam memperkukuh produktiviti nasional.
Sebagai usaha berterusan, kerajaan akan melaksanakan projek rintis untuk mendapatkan baja, termasuk baja organik, secara tender terbuka, mengikut kesesuaian kawasan penanaman.
Selain itu, RM65 juta diperuntukkan bagi pembangunan sistem pengairan dan saliran jelapang padi, serta meluaskan estet padi Felcra di Sabah dan Sarawak.
Kesejahteraan pesawah dan nelayan turut diutamakan dengan RM2.78 bilion disediakan untuk subsidi, bantuan dan insentif yang menunjukkan peningkatan berbanding RM2.6 bilion sebelum ini.
“Kerajaan juga menaikkan kadar siling bantuan bina baharu atau penempatan semula rumah nelayan kepada RM84,000 di Semenanjung dan RM90,000 di Sabah dan Sarawak,” tambahnya.
Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan 2025 di Parlimen pada Jumaat.
Belanjawan 2025 memberi fokus kepada tiga aspek iaitu “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat”.
Ini adalah belanjawan ketiga oleh Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.